Dalil Wasiat
Firman Allah SWT yang bermaksud "(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya." - [Surah An-Nisa' : 11]
Daripada Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Seseorang muslim mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya." - [Riwayat Al-Bukhari]
Rukun Wasiat
- Pewasiat
- Penerima wasiat (benefisiari)
- Harta yang diwasiat
- Lafaz wasiat
Syarat Pewasiat
- Telah mencapai umur 18 tahun
- Sempurna akal
- Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa
- Tidak dihalang daripada mengurus hartanya
Syarat Penerima Wasiat (Benefisiari)
- Diketahui dengan jelas
- Bukan waris
- Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak
- Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis
Syarat Harta Yang Diwasiat
- Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat
- Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindahmilikkan selepas kematian pewasiat
- Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat, jika ditentukan atau wujud semasa kematian pewasiat, jika tidak ditentukan
- Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat
Hukum Wasiat
Peringkat awal Islam, hukum wasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana dalil Al-Quran yang bermaksud :
"Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai sesuatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa." -[Surah Al-Baqarah : 180]
Kewajipan ini telah dimansuhkan dengan ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima 1/3 dan ditujukan kepada selain waris.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Oleh itu, tidak harus lagi berwasiat untuk mana-mana waris. - [Riwayat Abu Daud]
Had Wasiat
Pewasiat digalakkan tidak mewasiatkan hartanya melebihi 1/3. Berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqqas r.a. katanya :
Rasulullah SAW menziarahiku ketika aku sakit tenat pada Haji Wada'. Aku berkata : "Ya Rasulullah, aku kini tenat, aku seorang yang berharta dan tiada yang mewarisiku melainkan anak perempuanku. Apakah boleh aku bersedekah dengan 2/3 hartaku?" Jawab baginda "Tidak". Aku bertanya : "Adakah boleh aku bersedekah dengan separuh hartaku?". Jawab baginda : "Tidak. 1/3 sahaja. 1/3 pun sudah banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan waris-waris engkau dalam keadaan kaya adalah lebih baik dari engkau meninggalkan mereka miskin dan meminta-minta dari orang ramai."
- [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Satu pertiga (1/3) adalah dikira setelah dijelaskan hutang yang berkaitan dengan harta atau tanggungan si mati. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.
Hikmah Disyariatkan Wasiat
Allah SWT mengharuskan wasiat kerana ia membawa faedah kepada pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya. Pewasiat menerima faedah apabila dia menerima ganjaran dan pahala kerana wasiatnya. Kebaikan ini juga akan disebut-sebut selepas kematiannya.
Kaum keluarganya juga menerima faedah keana biasanya wasiat ditujukan kepada kaum keluarga yang tidak menerima sebarang harta pusaka ataupun anak angkat. Dengan ini mereka boleh menerima sebahagian daripada harta pusaka tersebut melalui wasiat. Mereka ini kadangkala terdiri daripada orang-orang yang memerlukan.
Wasiat merupakan salah satu cara untuk berinfaq kepada kepentingan tertentu seperti pembinaan masjid, sekolah, perpustakaan, hospital dan sebagainya. Dengan ini wasiat bolehlah dianggap sebagai suatu sistem takaful sosial dalam Islam kerana faedah dan kebaikannya memberi manfaat kepada msalahah umum.
Sumber : MAIS
Salam sayang,
Farah
Takaful Consultant
Wasiat/Hibah Consultant
Financial Practitioner
012.256.7454 | 013.610.7004
Farah
Takaful Consultant
Wasiat/Hibah Consultant
Financial Practitioner
012.256.7454 | 013.610.7004