*Pedih nasihat Tun, namun hadam untuk jadi lebih baik!*
-Oleh Khairul Hakimin
Saya masih ingat saat Dato Seri Ahmad Maslan mencadangkan kita semua kena berusaha lebih dari 1 kerja pada beberapa tahun lalu, disambut dengan banyaknya maki dan kata kesat. Dikatalah segalanya dengan berbagai-bagai hal lalu akhirnya menjadi bahan parodi, gurauan dan sebagainya.
Hakikatnya, semasa saya bekerja kilang, yang menampung perbelanjaan rumah, yang membantu sana-sini adalah datang dari pendapatan secara sampingan. Kerja 8-12 jam sehari masih tak cukup untuk menampung banyaknya benda nak bayar, lebih lagi duduk di kawasan bandar.
Ada ramai antara kita yang memandang cadangan dari Pak Menteri sebagai satu bahan lawak, jenaka dan lebih membusuk ialah ianya dimaki-maki seolah mereka ini bukan sibijak pandai. Terus sahaja wajahnya diperlakukan dengan berbagai-bagai persamaan dan menjadi bahan ejekan berterusan.
Baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri kita menegur orang melayu dengan ucapan yang memerlukan kita semua bersungguh-sungguh atau rajin berusaha supaya kita semua berjaya.
Lalu ramainya yang menempelak dan memuat naik status di media social dengan maki, hamun, tak kurang ada yang jawab baik-baik serta memuji ucapan tersebut.
Pada julai 1981, Tun menaiki kerusi nombor 1 negara (Perdana Menteri ke-4) dan dari saat itu beliau berusaha menukar negara pertanian kepada negara industry.
Hajatnya ialah membawa sinar mereka yang menjadi petani dan nelayan ini (kumpulan kaum melayu) kepada mereka yang berkemahiran, bekerja dalam sector pengeluaran dan menukar minda kepada yang lebih produktif dan berdaya saing.
Sekitar 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, lebih 100 ucapan beliau diselit dengan pesanan, “Melayu Jangan Malas” dan pada waktu itu tiada yang menjawab, tiada juga yang berani bersuara seperti hari ini untuk membuat serangan balas kepada ucapan begitu.
Tun sendiri di dalan naskhah The Malay Dilemma dan kemudiannya disambung juga pesanan itu di dalam Doktor Umum, pasti akan ada pesanan yang sama. Perbezaannya ialah kepada audien yang menerima pada waktu tersebut.
Hari ini, kita semua berada dalam suasana yang sangat berbeza. Ibu memanggil anak makan, anak akan berani jawab “sekejaplaaaaahhh!” Namun pada zaman kami, emak menjerit hanya satu perkataan “makan!” semua akan berlari turun tanpa pernah berani menjawab sepatah pun.
Ianya soal hormat yang bercampur takut serta banyaknya perkara boleh terjadi sekiranya ianya tidak disambut dengan baik.
Zaman ini merupakan zaman bantah membantah. Duduklah sesiapapun di atas kerusi nombor satu tersebut, pesanan, cadangan serta banyaknya idea untuk penambahan atau perbaikan sesuatu hal akan dihempas dengan kata-kata yang buat generasi seperti kami ini ternganga.
Pesanan Tun itu mudah, merujuk kepada beliau antara manusia yang masih hidup dan pernah melihat era peperangan kemasukan Jepun dan British ke dalam negara.
Orang yang dicaci maki ini antara yang pernah mendokumenkan dalam kepalanya tentang bagaimana anak melayu di pancung dan kemudiannya kepala mereka disusun di beberapa pusat bandar, juga melihat dengan jelas kehadiran masyarakat bukan melayu ke dalam negara pada waktu itu mengambil banyaknya tempat yang sepatutnya diisi oleh melayu sendiri, namun ianya tidak berlaku.
Pesanan kali ini tidak “kasar” seperti tahun-tahun dahulu. Ianya lebih kepada nasihat dalam bentuk yang lebih tenang dan momentumnya banyak kepada kena berfikir dalam-dalam dan hadam segalanya sebelum kita dapat menerimanya.
Namun, semua itu diambil pusing dan semuanya ditanam dalam hati, “Tun perli kita semua pemalas” sedangkan kita dah berusaha berbagai hal untuk maju dalam diri kita sendiri.
Saya antara yang terkesan dan mahu lebih berjaya dari pesanan ini. Bagi saya, saya bukan seorang yang cukup rajin lagi. Dan saya ambil itu sebagai satu cabaran yang bermakna untuk diri saya.
Orang rajin, patutnya menerima teguran dan pesanan Tun ini bukan dari sudut politik. Beliau bercakap dari sudut seorang negarawan yang mahu melihat anak bangsanya naik maju setara dengan mereka yang dikatakan “membangunkan ekonomi” dalam negara kita.
Saya takkan lupa bersembang dengan Tun dalam sesi bersama para Influencer, katanya “kena rajin dalam banyak hal. Sudah-sudahlah kita beri peluang, kita beri geran, kita beri projek, yang datang dari melayu adalah sangat sedikit.
Jadi peluang itu diambil oleh masyarakat lain yang pandainya berniaga dan berstrategi. Mereka ini mencari peluang, cipta peluang dan bina peluang. Sedang orang melayu, menadah peluang. Tak sampai ke tangannya, biar. Tak ada, tak adalah, balik rumah kembali tengok tv.”
Sebut sahaja kuasa beli, kita cakap kitalah orang melayu. Iya, kita majoriti.
Namun apabila sebut tentang daya saing, ianya tidak berlaku. Kita tak peduli langsung bab nak bersaing.
Kita senang melihat orang kaya,
Namun kita tak kisah pun kita tidak kaya, kita suka sebut “cukuplah, ini pun dah cukup bersyukur.”
Ianya berbeza dengan falsafah rakyat cina yang berniaga. Mereka mahu bantu seisi sesama mereka malah pada setiap hari, mereka akan berusaha mana lagi jalan untuk jadi kaya dalam berdaya saing.
Lihat rumah mereka sebesar-besar, kita akan suka cakap “alah dia cina, mesti boleh berniaga tak ikut undang-undang agama kita.” Dan macam-macam telahan lagi. Itu perkara normal yang ada dalam kepala kita semua.
Saya cakap terang, pesanan Tun ini bukan untuk orang rajin. Sekiranya kalian tergolong dalam kumpulan mereka yang berusaha dengan penuh daya, mengambil masa lebih 15 jam sehari untuk majukan diri, tak pernah putus asa untuk bina empayar dan sentiasa perbanyakkan usaha, pesanan ini boleh jadi medan untuk kalian rasa gah, rasa puas dan mahu lebih lagi berjaya.
Namun jika kalian orang yang malas, boleh jadi kalian akan melompat tak tentu pasal. Marah dan mengatakan Tun seorang yang silap, kemudian mengaitkan dengan kekayaan anak-anaknya yang langsung tiada kena mengena.
Jujurnya, dalam kitab Hikayat Sejarah Dunia tentang tanah melayu, (sekarang disebut Malaysia) ini pernah disebut sebagai The Golden Chersonese, atau Suvarnadvipa atau Semenanjung Emas. Kerana di negara kita ini sangat banyak peluang untuk diniagakan.
Ianya menjadi pusat pemerdagangan utama dunia, Tome Pires juga menganggap Melaka sebagai tempat perniagaan yang tiada tolok bandingannya berbanding di pusat lain kerana di sini banyaknya emas dan menjadi tumpuan ramainya pedagang.
Namun, peluang itu tidak diambil kerana orang melayu lebih suka melihat, dan berangan mahu kaya seperti pedagang-pedagang ini. Dan akan kembali pulang ke rumah, kemudiannya menguruskan kebun, mencari buah serta menanam sedikit sayuran atau ubi untuk dimakan sekeluarga.
Kisah ini bukan benda kecil. Ia membawa kepada peradaban kita sepanjang zaman, yang mana ibu bapa kita mahu sangat kita berjaya, kita menaiki tangga university dengan mind-set akan masuk ke sector kerajaan sedangkan masyarat cina dan india akan menguasai kedai-kedai, empayar bisnes serta banyaknya usaha-niaga yang menjadikan mereka ini semakin berkuasa dalam dunia kewangan.
Kita boleh setuju dengan semua itu, namun kita tak nampak pesanan Tun pada hari ini ialah mahukan kita ini kembali menjadi tuan kepada tanah kita sendiri. Saat Proton dijual satu masa lalu, kita semua bersedih, dan kita tahu ianya sukar untuk kita belinya semula. Lalu kita melihat sendiri ia mekar ditangan orang lain. Kita hanya pandai bersedih sahaja. Bab itu, kita sangat mahir.
Seperti biasa, selepas itu kita hanya tahu komplen, kita hanya tahu merungut dan cakap besar. Kita sering sembang kencang, mahu jadikan ia begitu begini. namun saat Proton dirundung masalah, penuh dengan berbagai hal untuk dibaik pulih, ianya tetap menjadi bahan kutukan gila-gila dari kiri kanan depan belakang orang kita.
Inilah yang berlaku sekarang dan generasi yang di bawah kita ini sedang melihat bagaimana kita berinteraksi dengan semua ini.
Hari ini, ramai anak melayu semakin rajin berniaga. Bina empayar, kita sudah melihat jatuh bangun bangsa kita dalam nak membangunkan diri kita, masyarakat kita dan negara kita sendiri. ini satu fenomena yang cukup bagus dan membanggakan.
Jujurnya, pesanan orang tua yang ini, yang kalian perolokkan dengan memanggilnya “atok” “tokki” dan sebagainya ini ada benarnya.
Kita kena kembali menjadi tuan di tanah kita sendiri. Yang mana perjuangan untuk mengembalikan segalanya ke tangan kita itu perlu bermula dari kuasa kita yang rajin, yang tidak faham erti penat, yang otaknya ligat dan mencari peluang serta sering berusaha bukan sekadar nak membeli rumah sebelum umur 30 tahun namun berkerja keras bagaimana mahu menjadi taukeh perumahan yang mampu menyediakan kediaman untuk bangsa kita sendiri.
Kita boleh jual dengan harga yang kita yakin ianya membantu bangsa kita, yang kosnya itu bukan untuk masuk poket, bukan juga untuk berjoli berjoget, juga bukan untuk kasi impress orang dengan kereta mewah pinjam sekadar nak pujian di media social. Ianya sebuah benda yang benar lagi sahih, kita perlu jadi tuan semula yang bijak, pandai beradab dan sentiasa penuh dengan hemah dan sahsiah.
Hari ini ramainya manusia stress kerja dan mengatakan itu adalah kerajinan beliau kerja pagi petang siang malam. Yang Tun nasihat kepada kita bab rajin ini ialah,
Jika kita kerja keras demi pekerjaan yang kita tak suka, itu stress, namun jika kita kerja keras demi pekerjaan yang kita suka, itu adalah semangat. Dan perkataan semangat itulah yang Tun mahu ada dalam diri kita semua.
Kena yakin, kita perlu jadi seseorang.
Kembalikan kuasa ekonomi kepada diri kita sendiri. kerja keras, penat lelah dan sebagainya pada setiap hari, mencium isteri dirumah untuk pergi kerja, kemudian pulang memeluk anak hari ini adalah untuk membina empayar bagi membantu dan memberi peluang 1,000 lagi anak melayu untuk berjaya.
Itulah yang kita kena berbuat. Berhenti marah, berhenti melompat dan memaki. Ini masa kita bangkit dan berdaya saing. Masa membaca dan masa mengubah diri sendiri.
Lihat diri, jika kita tahu marah, kemudian esoknya kita masih bercuti pada hari cuti, sedang masyarakat mereka yang membuka kedai tanpa pernah tutup ini masih meneruskan dan berniaga untuk kita, maka kita kena sedar yang cuti itu merupakan rasuah terbesar kepada diri kita sendiri.
Sedang orang lain yang mahukan plot dan ruang kita untuk memiliki kita, kita pula mengejek pesanan seorang tua dengan memberi alasan dan alasan.
Begitulah kawan-kawan, tulisan panjang ini juga boleh jadi kena kecam dan saya akan terima seadanya. Bak kata pepatah,
“Orang rajin cari jalan, orang malas, banyak alasan.”
-cp from fb Khairul Hakimin Muhammad
*Jom ambil peluang untuk jadi Perunding Takaful
Saya bukanlah orang yang HEBAT, tetapi saya mahu belajar dari orang yang HEBAT. Saya adalah orang biasa tapi saya ingin menjadi orang yang LUAR BIASA. Saya suka apa yang saya buat. Saya sanggup belajar dan diajar dan terus belajar. Kenali saya cintai saya.Trust-Love-Respect.
Monday, September 9, 2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pindah Blog
Assalamualaikum Akibat kekangan masa, saya tak mampu nak update banyak-banyak blog. Oleh itu, apa saja cerita berkaitan Takaful saya akan pi...
-
Assalamualaikum w.b.t..... Saya nak kongsikan di sini apa itu MRTT, MLTT, MRTA & MLTA dan perbezaannya. Pertama sekali, sebelu...
-
Assalamualaikum..... Apakah yang anda tahu tugas sebagai seorang Perunding Takaful atau Penasihat Takaful ini? Tugas kami adalah BERTIND...
-
Assalamualaikum semua client tersayang. Sudahkah anda semua register MyAccount? Banyak kelebihannya tau register di MyAccount ni. Apa yang k...
No comments:
Post a Comment